Oleh Hasnan Yahya
KG MAMBONG, KUALA KRAI, 5.Mei - Kesungguhan kerajaan Kelantan untuk melihat industri pelancongan sebagai punca pendapatan negeri diteruskan lagi dengan menjadikan produk berasaskan tanah liat atau lebih dikenali pembuatan seramik ditingkatkan pengeluarannya.Kecaknaan ini dibuktikan dengan mengadakan siri lawatan ke Kampung Mambong, yang terletak di pinggir sungai Kelantan dalam jajahan Kuala Krai dengan memakan masa hampir 2 jam pergi dan balik, sebahagian Exco negeri terdiri dari Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman, Abdul Fattah Mahmood, Che Abdullah Mat Nawi, Dr.Muhammad Fadzli Hassan dan Hajjah Wan Ubaidah Omar telah sempat mengunjungi kampung tersebut yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan.
Lawatan ini juga turut dihadiri oleh Adun Guchil Tuan Zamri Tuan Zakaria, Adun Mengkebang Abdul Latiff Abd.Rahman, Adun Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah. Hadir sama Penolong Ketua Jajahan ( Pembangunan Fizikal) Mohd Zulkarnain Baharuddin, Penggawa Daerah Olak Jeram Mamat Salleh dan Penggawa Dabong Abdul Rahim Abdul Rahman.
Sementara itu Datuk Takiyuddin dalam lawatan tersebut turut meluluskan sejumlah RM33 ribu bagi meningkatkan usaha pembuatan seramik dengan memberi peruntukkan pembaikian rumah rakit yang dijadikan tempat pengkalan motor sungai serta pembinaan sebuah bangsal bagi penyimpanan produk yang telah siap.
“ saya berharap dengan kemudahan yang diadakan ini, industri seramik di kampung ini dapat ditingkatkan dan lebih teratur serta tidak disimpankan produk dibawah rumah seperti sekarang ini lagi”ujar beliau.
Takiyuddin juga berkata dengan kemudahan rumah rakit tersebut ia boleh menarik lebih ramai pelancong datang ke kampung Mambong bagi melihat sendiri keunikan pembuatan seramik secara tradisional ini.
Menyentuh usaha kerajaan menarik pelancong ke Kelantan, Takiyuddin berkata usaha pembuatan seramik ini boleh dibawa ke peringkat yang lebih jauh seperti menyertai pameran di peringkat nasional .
“ Kerajaan bersetuju untuk membawa pengusaha seramik dari kampung Mambong ini menyertai Karnival Seni Budaya Kelantan yang akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV pada awal Julai ini”katanya lagi.
Bagi Puan Zainab Hussain,64 ketika ditemui berkata kunjungan sebahagian exco negeri ke Kampung Mambong ini amat dihargai dan tidak pernah berlaku kunjungan seperti ini dengan melibatkan ramai pembesar negeri.“ Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan negeri yang hadir hari ini dan telah meluluskan dua perkara utama iaitu penambahbaikan rumah rakit serta meluluskan pembinaan sebuah tempat penyimpanan barangan yang telah siap”ujar beliau.
Beliau yang menceburi bidang pembuatan seramik bermula semenjak usia 16 tahun lagi berkata setakat ini pihak keluarganya telah mendapat sokongan penuh dari Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai.
“ Kebelakangan ini, telah ramai orang luar datang, ada juga pelajar universiti datang tengok makcik buat benda ni dan mereka amat kagum melihat hasil tangan kami di kampung Mambong ini”kata beliau lagi.
No comments:
Post a Comment