M Faqih |
KOTA BHARU, 27 April: Sejak lebih setahun lalu Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB dan Persatuan Arked Uda mendakwa saiz lot niaga di Bazar Tok Guru sempit dan mahal. Sedangkan mereka lupa saiz lot tersebut diputus berdasar kepada kehendak persatuan kerana mahu kesemua peniaga ditempatkan di tingkat bawah. Buktinya terkandung dalam minit mesyuarat pada 20 Januari 2010. Ketika itu persatuan diwakili Abdul Salim Ahmad dan Wan Lokman Wan Salleh. Keluasan asal setiap lot di tingkat bawah 12 x 10 kaki persegi dan jumlah lot sebanyak 107 unit. Namun persatuan tetap mahu 415 peniaga berniaga di tingkat bawah. Ekoran desakan itu menyebabkan kerajaan negeri mengarahkan pemaju menambah jumlah lot di tingkat bawah bagi memenuhi kehendak peniaga. Lot tersebut akhirnya dikecilkan kepada 8 x 6 kaki persegi dan memuatkan 368 lot. Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, keluasan setiap lot di tingkat bawah sudah dipersetujui wakil-wakil peniaga pada mesyuarat yang diadakan pada 20 Januari 2010. “Sebelum itu jumlah lot di tingkat bawah memang luas iaitu 12 x 10 kaki persegi iaitu sebanyak 107 unit. ”Tetapi apabila semua peniaga mahu berniaga di tingkat bawah, jadi kita kecilkan kepada 8 x 6 kaki persegi sehingga memuatkan 368 unit. ”Inilah punca yang menyebabkan saiz lot menjadi kecil kerana kesemua peniaga mahu tingkat bawah. Dan keluasan itu sama dengan saiz lot di Pasar Lama MPKB,” katanya pada persidangan media di pejabatnya hari ini. Hadir sama dua anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah, Datuk Takiyuddin Hassan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Nazran Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir Mustafa Salleh. Turut dijemput hadir pada mesyuarat terseebut Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Salim Ahmad, Pengerusi Persatuan Peniaga Arked Uda, Borhan Mohd Nor dan dua lagi peniaga. Sebelum ini Salim dilaporkan berkali-kali mendakwa saiz lot di Bazar Tok Guru sempit. Persatuan itu juga membawa isu tersebut kepada Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustafa Mohamed, namun kehendak peniaga terperap begitu sahaja, hanya sekadar mengisi ruang di halaman akhbar. Timbalan Menteri Besar menegaskan lagi wakil peniaga terbabit bersetuju dengan keluasan 6 x 8 kaki persegi. ”Pengerusi persatuan bersetuju saiz 6 x 8 kaki persegi, dia boleh terima dan cuma beritahu mahu keselesaan. “Dia juga ada kata tak selesa hendak hisap rokok pun tak sedap dan barang yang dijual melimpah ke luar, sedangkan kita sediakan setor di tingkat bawah,” ujar Takiyuddin. Ahmad berkata, hari ini kerajaan negeri telah putuskan untuk memberi tawaran terakhir kepada peniaga Pasar Lama MPKB dan Arked Uda untuk berpindah ke Bazar Tok Guru melalui PMBK. Menurutnya kerajaan negeri bersetuju dan melayani hasrat peniaga-peniaga dengan tawaran harga sangat kompetitif iaitu RM63,000 di tingkat bawah dan satu Bazar Tok Guru. Pembeli di tingkat bawah hanya perlu membayar mulai tahun kedua. Mereka dibenar berniaga secara percuma selama setahun. Manakala pembeli di tingkat satu hanya perlu membayar pada tahun ketiga. ”Tawaran itu hanya sah sehingga 31 Mei ini dan kalau ada yang belum sempat mendaftar sehingga tarik tersebut kita beri tawaran sehingga akhir Jun depan dengan harga RM70,000. ”Selepas 31 Mei segala urusan pinjaman bank peniaga perlu mengurus sendiri,” katanya. Beliau juga berkata, mulai 1 Julai depan tiada lagi harga diskaun diberi dan peniaga ditawar pada harga asal iaitu RM92,000 di tingkat satu dan RM88,000 di tingkat bawah. |
Wednesday, May 4, 2011
Lot Bazar Tok Guru kecil atas kehendak persatuan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment