Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, January 23, 2010

KB Sentral : MPKB-BRI untung RM6.3 juta


Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) akan mendapat keuntungan pulangan pelaburan sebanyak RM6.3 juta daripada projek pembangunan KB Sentral yang akan dilaksanakan di atas tanah seluas 24,500 kaki persegi di Jalan Hamzah, di sini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob berkata, keuntungan tersebut diterima atas penggunaan tanah berkenaan bagi pembinaan KB Sentral yang melibatkan Hotel Tune, apartment dan juga unit kedai di Jalan Hamzah bersebelahan KB Mall di mana ia adalah tapak lama stesen bas dan tanah perkuburan.

”Projek yang dilaksanakan oleh Syarikat HLKS Construction ini dianggarkan menelan belanja RM50 juta dan daripada jumlah itu, MPKB-BRI akan menerima keuntungan sebanyak RM4.3 juta dalam bentuk tunai manakala RM2 juta lagi dalam bentuk aset dua unit kedai tiga tingkat.

”Selain keuntungan berjumlah RM6.3 juta itu, MPKB-BRI juga akan menjana pendapatan sampingan dari sewa kedai, pungutan cukai, lesen dan lain-lain bayaran berkaitan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Pembangunan Komersil KB Sentral Kota Bharu.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Hotel.com, Mark Lankester; Pengarah Urusan, HLK Ventures Sdn Bhd, TS Ting; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Anuar Tan Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan serta beberapa lagi Exco Kerajaan Negeri.

Ahmad Yaacob berkata, fasa pertama projek berkenaan akan siap pada Disember 2010 diikuti fasa kedua melibatkan apartmen dan rumah kedai dijangka siap pada bulan Mac 2011.

Katanya, projek ini adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan majlis untuk menstrukturkan semula bandar Kota Bharu yang bertujuan untuk menjadikan bandar ini sebuah bandar yang dinamik, makmur dan kompetitif kepada persaingan pembangunan perbandaran di seluruh negara.

”Pembangunan projek ini dijangka memberi kesan besar kepada pembangunan hartanah Kota Bharu khasnya dalam perkembangan industri pelancongan Negeri Kelantan di mana rakyat berpeluang memiliki unit apartmen sama ada untuk kegunaan sendiri atau sebagai pelaburan.

”Sementara itu, Hotel Tune akan berperanan untuk mempromosi keunikan budaya Kelantan sebagai produk pelancongan di samping deretan lokasi menarik di seluruh negeri,” katanya.

Ahmad Yaacob berkata, dengan kewujudan KB Sentral ini, ia akan menjadi penghubung antara bandar Kota Bharu dengan bandar-bandar lain di sekeliling, serta lokasi tumpuan utama pelancong luar yang datang ke negeri ini terutamanya kerjasama antara Hotel Tune dengan Syarikat Penerbangan Air Asia.

Friday, January 1, 2010

Tiada masalah orang Islam bangsa lain jadi MB

KOTA BHARU, 2 Jan: Exco Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa orang bukan Melayu beragama Islam boleh menjadi menteri besar.Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri berpendapat, perkara itu wajar asalkan individu tersebut mempunyai ilmu yang tinggi mengenai Islam.

"Calon Menteri Besar atau pemimpin bagi kerajaan yang berteraskan Islam, calon itu mestilah mempunyai ilmu yang tinggi mengenai Islam."Ini kerana sebagai menteri besar dan pemimpin, perlu memutuskan satu-satu perkara berdasarkan kepada syariat dan hukum," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis jamuan kesyukuran dan doa selamat sempena pembukaan Bazar Tengku Anis di sini kelmarin. Beliau berkata, dalam sejarah Islam itu sendiri, aspek 'bangsa' itu adalah sebagai satu yang tidak pernah diambil kira oleh Rasulullah s.a.w ."Bahkan dari segi ilmu, Hadis Nabi saw sendiri menyebut (bahawa) disaran supaya menuntut ilmu walau pun sampai ke negeri Cina. Itu dari segi ilmu.

"Dalam Islam, setakat yang saya faham, tidak pernah ada syarat untuk menjadi pemimpin itu mesti (dari) bangsa-bangsa tertentu," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bunut Payong. Menteri Besar baru-baru ini menyatakan kesediaan Kerajaan Kelantan untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan orang bukan Melayu beragama Islam menjadi Menteri Besar negeri itu.

Beliau berkata bukanlah menjadi persoalan untuk meminda peruntukan dalam undang-undang berkenaan asalkan ia selari dengan kehendak Islam seperti diperkenalkan PAS sejak memerintah negeri Kelantan pada 1990.Mengikut dasar Islam, kata Nik Aziz, calon Menteri Besar dari kalangan bukan Melayu itu layak dijadikan pemimpin asalkan calon berkenaan berakhlak baik dan mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya.

Beliau turut menempelak pemimpin Umno yang taksub terhadap bangsa sendiri apabila menolak saranan tersebut dan menyifatkan Umno pada masa akan datang tiada tempat dalam politik negara, malahan imej Umno pada kacamata masyaakat Cina lebih buruk.

Turut menyokong pandangan Menteri Besar Kelantan itu, Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Mustafa Ali .Malah Mustafa mencadangkan ianya bukan sahaja untuk Menteri Besar Kelantan saja, bahkan membabitkan pemimpin utama negara.

Mengulas perkembangan perniagaan dijalankan para peniaga di negeri ini membabitkan peniaga di Pasar Buloh Kubu, Bazar KB Mall dan terbaru Bazar Tengku Anis di sini, Takiyuddin berkata semua pihak perlu bekerjasama untuk mewujudkan satu suasana yang kondusif serta selesa.

Peranan tersebut bukan saja perlu dimainkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan pihak Kerajaan Negeri, bahkan membabitkan semua jabatan dan agensi berkaitan.

"Pada masa sama, pihak peniaga perlu mengambil inisiatif melariskan perniagaannya, Kerajaan hanya memberi pandangan dan galakan di samping menyediakan kemudahan dan cara (facility), keselamatan, kebersihan dan keceriaan, bahkan MPKB-BRI sendiri amat bertoleransi dengan para peniaga,' katanya.

Sumber Harakahdaily

Pusat Penerangan Pelancongan