Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, February 17, 2010

Pasar Serawe tarikan muzium Kelantan

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

utusankelantan@utusan.com.my


KOTA BHARU 12 Feb. – Langkah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) memperkenalkan ‘Pasar Serawe’ (Serawang) pada setiap hari cuti mingguan mulai beberapa minggu lalu mula membantu memberi ‘nafas baru’ kepada pihak muzium.

Ia bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pengunjung malah mendekatkan institusi itu dengan masyarakat apabila ia mula melebarkan peranannya dan tidak lagi sekadar dipertanggungjawab menyimpan barangan purba yang mempunyai nilai sejarah.

Melalui pasar yang diwujudkan di pekarangan Muzium Kelantan itu, ia membuka ruang kepada anggota masyarakat mempamer dan menjual pelbagai barang-barang antik yang berada dalam simpanan mereka.


Ia sekali gus akan memberi nilai ekonomi kepada pemiliknya yang tidak lagi mahu menyimpannya kerana peluang untuk menjualnya boleh dilakukan di pasar yang bercirikan pasar lambak atau pasar bonet kereta itu.

Pengarah Muzium Negeri, Mohd. Fauzi Mat memberitahu, program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Seni Purba dan kraftangan Kelantan serta Persatuan Pelukis Kelantan akan didedahkan secara meluas kepada masyarakat umum.

Bercakap kepada pemberita dalam Majlis Santai Bersama Media di sini hari ini beliau berkata, pasar itu diadakan setiap Jumaat mulai pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari manakala dari pukul 9 hingga 4 petang pada Sabtu.

“Konsep Pasar Serawe itu lebih kepada mempamer dan menjual barangan antik yang mempunyai nilai-nilai estetika, nostalgia dan tradisional masyarakat yang berada dalam simpanan peribadi kepada masyarakat umum.
“Ini termasuk barangan lama seperti peralatan tradisional, seterika arang, alat elektronik, logam, senjata lama termasuk keris, lembing serta tombak, lukisan, bahan bacaan, perhiasan diri di samping pelbagai hiasan rumah,” ujarnya.
Pelancaran pasar itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, Sabtu lalu.
Menurut Mohd. Fauzi, pelancaran pasar itu menambah satu lagi produk Muzium Negeri ini dalam usaha menarik pelancong melawat Kelantan.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan semua pihak yang mempunyai barangan koleksi peribadi supaya menyertai program itu untuk mempamer atau menjual barangan mereka di muzium ini.
Menurutnya, pada peringkat awal, tapak bagi mempamer atau menjual barangan itu disediakan secara percuma dan mereka yang berminat boleh menghubungi Pengarah Muzium berkenaan melalui talian 09-7482266

No comments:

Post a Comment

Pusat Penerangan Pelancongan