Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, January 23, 2010

KB Sentral : MPKB-BRI untung RM6.3 juta


Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) akan mendapat keuntungan pulangan pelaburan sebanyak RM6.3 juta daripada projek pembangunan KB Sentral yang akan dilaksanakan di atas tanah seluas 24,500 kaki persegi di Jalan Hamzah, di sini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob berkata, keuntungan tersebut diterima atas penggunaan tanah berkenaan bagi pembinaan KB Sentral yang melibatkan Hotel Tune, apartment dan juga unit kedai di Jalan Hamzah bersebelahan KB Mall di mana ia adalah tapak lama stesen bas dan tanah perkuburan.

”Projek yang dilaksanakan oleh Syarikat HLKS Construction ini dianggarkan menelan belanja RM50 juta dan daripada jumlah itu, MPKB-BRI akan menerima keuntungan sebanyak RM4.3 juta dalam bentuk tunai manakala RM2 juta lagi dalam bentuk aset dua unit kedai tiga tingkat.

”Selain keuntungan berjumlah RM6.3 juta itu, MPKB-BRI juga akan menjana pendapatan sampingan dari sewa kedai, pungutan cukai, lesen dan lain-lain bayaran berkaitan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Pembangunan Komersil KB Sentral Kota Bharu.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Hotel.com, Mark Lankester; Pengarah Urusan, HLK Ventures Sdn Bhd, TS Ting; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Anuar Tan Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan serta beberapa lagi Exco Kerajaan Negeri.

Ahmad Yaacob berkata, fasa pertama projek berkenaan akan siap pada Disember 2010 diikuti fasa kedua melibatkan apartmen dan rumah kedai dijangka siap pada bulan Mac 2011.

Katanya, projek ini adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan majlis untuk menstrukturkan semula bandar Kota Bharu yang bertujuan untuk menjadikan bandar ini sebuah bandar yang dinamik, makmur dan kompetitif kepada persaingan pembangunan perbandaran di seluruh negara.

”Pembangunan projek ini dijangka memberi kesan besar kepada pembangunan hartanah Kota Bharu khasnya dalam perkembangan industri pelancongan Negeri Kelantan di mana rakyat berpeluang memiliki unit apartmen sama ada untuk kegunaan sendiri atau sebagai pelaburan.

”Sementara itu, Hotel Tune akan berperanan untuk mempromosi keunikan budaya Kelantan sebagai produk pelancongan di samping deretan lokasi menarik di seluruh negeri,” katanya.

Ahmad Yaacob berkata, dengan kewujudan KB Sentral ini, ia akan menjadi penghubung antara bandar Kota Bharu dengan bandar-bandar lain di sekeliling, serta lokasi tumpuan utama pelancong luar yang datang ke negeri ini terutamanya kerjasama antara Hotel Tune dengan Syarikat Penerbangan Air Asia.

No comments:

Post a Comment

Pusat Penerangan Pelancongan