Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, May 27, 2010

Kerjasama pelancongan Kelantan - Selangor





27 Mei - Pihak kerajaan Negeri Kelantan melalui agensi Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) akan menjalinkan kerjasama lebih erat dalam aspek pelancongan antara negeri Kelantan dan Selangor.
Hal ini dipersetujui antara Dato' Hj Takiyuddin bin Hj. Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan dan Cik Elizabeth Wong, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Selangor dalam pertemuan mereka di pejabat TIC di sini, hari ini.

Turut serta dalam perjumpaan ini ADUN Rawang, Gan Pei Nei yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor.

Cik Elizabeth Wong yang menghadiri Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung di Kota Bharu mengambil peluang mengadakan pertemuan empat mata dengan Takiyuddin Hassan.

" Kita amat-amat berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri yang ingin berkerjasama dengan kita, terutama negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, hasil daripada persidangan pelancongan yang diadakan di Langkawi sebelum daripada ini," kata Takiyuddin.

Sementara itu Elizabeth dalam taklimatnya menyatakan hasrat untuk menjalinkan suatu projek usahasama berupa pakej pelancongan antara kedua-dua buah kerajaan yang turut melibatkan sebuah syarikat penerbangan tambang murah.

"Adalah dicadangkan pelancong samada dalam atau luar negara akan menikmati pakej ini dengan berada di kedua-dua buah negeri ini selama beberapa hari yang dipersetujui bersama," ujarnya.

Cik Elizabeth juga memohon pihak kerajaan negeri menghantar suatu kontijen sempena dengan pesta muzik kebudayaan yang akan dilangsungkan di Selangor dalam bulan Jun depan.

Selain itu persetujuan juga dicapai bersama untuk mempromosi pelancongan agama (Ibadah tourism) yang terdapat di Kelantan seperti Ihya Ramadhan dan Quran Aidil Adha dan sebagainya.

Wednesday, May 26, 2010

Muktamar ke-56 saksikan kelainan




PENGKALAN CHEPA, 27 Mei - Sehingga kini lebih 50 peratus persiapan bahagian dalam dan luar Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) selesai menjelang Muktamar Tahunan PAS Pusat yang akan berlangsung dari 9 hingga 13 Jun ini.

Muktamar Tahunan PAS ke-56 tahun ini kembali diadakan di Putik selepas diadakan di Shah Alam tahun lepas dan di Ipoh tahun sebelumnya. Pengarah Muktamar, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, Kelantan telah bersiap sedia menerima tetamu, perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara yang akan berkampung di Kelantan selama lima hari.

"Bagaimanapun muktamar tahun ini ada sedikit perubahan apabila majlis perasmian muktamar Dewan Ulama, Muslimat dan Pemuda diadakan serentak pada 9 Jun kira-kira jam 9 malam bertempat di Putik,

"Manakala keesokkan harinya ketiga-tiga dewan akan melangsungkan muktamar di tiga tempat berasingan iaitu Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama PAS Kelantan (Madu) Machang, Dewan Pemuda di Kelantan Trade Centre (KTC) dan Dewan Muslimat di Dewan Duyung, Perdana Resort," kataanya semasa ditemui ketika meninjau persiapan muktamar di Putik, Selasa lalu.

Takiyuddin yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS berkata, pada pagi 11 Jun perasmian muktamar akan diadakan di Dewan Putik disempurnakan Prseiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Manakala pada sebelah petang hari yang sama, muktamar penuh akan diadakan. Muktamar dijadualkan berakhir tengahari 13 Jun.

Sumber :http://www.pas.org.my

Monday, May 24, 2010

MPKB peruntukkan RM10juta pastikan kebersihan Bandar

Oleh Ahmad Hasanain

KUBANG KERIAN, 15 Apr - Bagi merialisasikan Kota Bharu sebagai sebuah bandar bersih menjelang akhir tahun ini, Majlis Perbandaran Kota Bharu, Bandaraya Islam(MPKB-BRI) telah memperuntukkan sejumlah RM10juta dalam aspek kebersihan seluruh kawasan perbandaran.

Namun demikian walaupun ia merupakan satu jumlah yang besar, kerajaan terpaksa menyediakannya agar semua warga bandar dapat hidup dengan selesa dan ia amat memerlukan kerjasama dari seluruh warga dalam kawasan MPKB-BRI agar sama-sama menjaga kebersihan kawasan Kota Bharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata peruntukan tersebut meliput semua aspek dalam pengurusan kebersihan bandar serta kawasan di bawah penyeliaan MPKB-BRI. Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Gotong Royong Perdana di JKP Zon Pasir Tumboh dalam parlimen Kubang Kerian hari ini.

Turut hadir, Adun Pasir Tumboh Ahmad Baihaki Atiqullah, Ketua Whip MPKB-BRI Abdul Rahman Yunus, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk MTD Zon Pasir Tumboh Dr.Ramli Mamat, Pegawai –Pegawai dan Ahli-ahli Majlis MPKB-BRI.

Menurut Takiyuddin kebersihan adalah merupakan salah satu peraturan dalam mewujudkan Kota Bharu sebagai sebuah bandaraya Islam kerana Kebersihan adalah tuntutan agama yang amat penting.

“Saya amat berharap warga di Pasir Tumboh dapat menjadikan kawasan pondok Terusan ini sebagai satu kawasan bersih dan ia amat penting terutamanya dalam menjadikan pondok ini sebagai satu tumpuan pelancong dan ia selari dengan hasrat kerajaan menjadikan Pondok sebagai destinasi pelancongan negeri” katanya lagi.

Takiyuddin juga berkata mengikut kajian purata harian pengeluaran sampah bagi setiap orang penduduk Kelantan ialah satu kilo sehari dan ini boleh mencecah hingga 1.5 juta kilo sehari jika diambil kira penduduk Kelantan yang kini hampir 1.5 juta orang.

Untuk menjadikan kebersihan keseluruhan Kelantan dalam tahun 2010 ini amatlah mustahil, oleh itu MPKB-BRI dan juga majlis tempatan lain telah mengambil pendekatan masing-masing dan di kawasan MPKB-BRI, telah dipilih beberapa kawasan seperti Pasar Besar Wakaf Che Yeh dipilih mewakili pasar, Sekolah Maahad Muhammadi Perempuan bagi kategori sekolah dan satu kawasan dalam bandar sebagai kawasan bersih sepenuhnya telah dikenalpasti untuk menjadi bersih seratus peratus.

“MPKB-BRI telah mengenal pasti kawasan tertentu untuk dijadikan zon bersih dan sesiapa yang berada di dalam kawasan tersebut hendaklah memastikan tidak membuang sampah merata-rata kerana tindakan penguatkuasa undang-undang akan diambil kepada mereka yang melanggari peraturan yang ditetapkan itu” kata beliau lagi.

Gotong royong perdana di kawasan pondok Terusan tersebut disertai seramai lebih 600 orang yang terdiri dari pelajar pondok Terusan, Anggota Tentera dari Kem 8 Briged Pengkalan Chepa, Bomba serta penduduk setempat.

Bagi memberi kerjasama dalam menjadikan kawasan Pasir Tumboh sebagai zon bersih, Syarikat pemaju Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh, MSO Cooporation telah menyumbangkan sebanyak 10 buah kereta sorong bagi kegunaan di Pondok Terusan, penduduk juga dijamu dengan nasi gulai kawah hasil sumbangan dari Adun Pasir Tumboh sendiri

Sunday, March 14, 2010

Kelantan Terima Konsert Jom Heboh TV3, Penyanyi Wanita Dilarang


Berita Timur

March 06, 2010 20:43 PM


Kelantan Terima Konsert Jom Heboh TV3, Penyanyi Wanita Dilarang

KOTA BAHARU, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri membenarkan Konsert Jom Heboh anjuran TV3 diadakan di Kelantan pada 26 dan 27 Mac ini sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan, tetapi melarang penyanyi wanita membuat persembahan.

Kerajaan negeri juga menetapkan syarat supaya penonton diasingkan mengikut tiga kategori iaitu berkeluarga, lelaki dan wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata persetujuan kerajaan itu hasil perbincangan antara pihak Media Prima dan kerajaan negeri.

"Keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru-baru ini, berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini hari Sabtu.

Terdahulu, Takiyuddin menyambut ketibaan penumpang penerbangan sulung syarikat penerbangan tambang murah Silver Fly, milik Berjaya Air dari Ipoh ke Kota Baharu.

Beliau berkata keputusan kerajaan negeri menerima pertunjukan Konsert Jom Heboh TV3 itu mulai tahun ini menunjukkan kerajaan tidak mengharamkan hiburan sebaliknya mengawal pertunjukan hiburan mengikut enakmen hiburan yang diterima pakai di Kelantan.

Beliau berkata sebelum ini kerajaan negeri pernah menolak permohonan TV3 untuk menganjurkan Sure Heboh kerana ia bertentangan dengan konsert hiburan yang dikehendaki oleh Enakmen Hiburan di negeri ini.

"Tetapi setelah pihak berkenaan (TV3) memperakukan segala peraturan dan syarat-syarat pertunjukan itu, kerajaan negeri sedia menerima konsert itu tahun ini," katanya.

Takiyuddin berkata pada konsert itu, pihak berkenaan akan mengadakan satu slot khas bercorak agama yang melibatkan penyertaan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

-- BERNAMA

Wednesday, February 17, 2010

Pasar Serawe tarikan muzium Kelantan

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

utusankelantan@utusan.com.my


KOTA BHARU 12 Feb. – Langkah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) memperkenalkan ‘Pasar Serawe’ (Serawang) pada setiap hari cuti mingguan mulai beberapa minggu lalu mula membantu memberi ‘nafas baru’ kepada pihak muzium.

Ia bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pengunjung malah mendekatkan institusi itu dengan masyarakat apabila ia mula melebarkan peranannya dan tidak lagi sekadar dipertanggungjawab menyimpan barangan purba yang mempunyai nilai sejarah.

Melalui pasar yang diwujudkan di pekarangan Muzium Kelantan itu, ia membuka ruang kepada anggota masyarakat mempamer dan menjual pelbagai barang-barang antik yang berada dalam simpanan mereka.


Ia sekali gus akan memberi nilai ekonomi kepada pemiliknya yang tidak lagi mahu menyimpannya kerana peluang untuk menjualnya boleh dilakukan di pasar yang bercirikan pasar lambak atau pasar bonet kereta itu.

Pengarah Muzium Negeri, Mohd. Fauzi Mat memberitahu, program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Seni Purba dan kraftangan Kelantan serta Persatuan Pelukis Kelantan akan didedahkan secara meluas kepada masyarakat umum.

Bercakap kepada pemberita dalam Majlis Santai Bersama Media di sini hari ini beliau berkata, pasar itu diadakan setiap Jumaat mulai pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari manakala dari pukul 9 hingga 4 petang pada Sabtu.

“Konsep Pasar Serawe itu lebih kepada mempamer dan menjual barangan antik yang mempunyai nilai-nilai estetika, nostalgia dan tradisional masyarakat yang berada dalam simpanan peribadi kepada masyarakat umum.
“Ini termasuk barangan lama seperti peralatan tradisional, seterika arang, alat elektronik, logam, senjata lama termasuk keris, lembing serta tombak, lukisan, bahan bacaan, perhiasan diri di samping pelbagai hiasan rumah,” ujarnya.
Pelancaran pasar itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, Sabtu lalu.
Menurut Mohd. Fauzi, pelancaran pasar itu menambah satu lagi produk Muzium Negeri ini dalam usaha menarik pelancong melawat Kelantan.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan semua pihak yang mempunyai barangan koleksi peribadi supaya menyertai program itu untuk mempamer atau menjual barangan mereka di muzium ini.
Menurutnya, pada peringkat awal, tapak bagi mempamer atau menjual barangan itu disediakan secara percuma dan mereka yang berminat boleh menghubungi Pengarah Muzium berkenaan melalui talian 09-7482266

Saturday, February 6, 2010

RM50 juta bina pusat lupus sampah sistematik


PASIR PUTEH - Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan lebih RM50 juta bagi menjadikan kawasan pelupusan sampah di Telong, Bachok lebih bersistematik. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peruntukan terbabit termasuk kos merawat air dari sampah.



Menurutnya, kawasan yang akan dijadikan sebagai ‘sanitary landfill’ itu nanti berupaya menam-pung sampah dari tiga kawasan iaitu Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.


“Kita menghadapi masalah apabila pusat pelupusan sampah tidak sistematik dan kita sedang berusaha untuk menambah baik kawasan terbabit yang dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Zon Bersih, Gotong-royong dan Kempen Membasmi Tikus di perkarangan Pasar Besar Pasir Puteh semalam yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar.


Sementara itu, Takiyuddin memberitahu, lebih RM20 juta diperuntukkan termasuk RM20 untuk Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam bagi menguruskan kebersihan merangkumi upah buruh, menyediakan peralatan dan jentera.


Menurutnya, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk menyerahkan kerja pengurusan sampah daripada pungutan sehingga kepada pelupusan kepada syarikat swasta.


“Sudah ada syarikat yang berminat untuk mengambil alih tugas itu, kita akan mengswastakannya selepas mendapat persetujuan,” katanya.

Saturday, January 23, 2010

KB Sentral : MPKB-BRI untung RM6.3 juta


Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) akan mendapat keuntungan pulangan pelaburan sebanyak RM6.3 juta daripada projek pembangunan KB Sentral yang akan dilaksanakan di atas tanah seluas 24,500 kaki persegi di Jalan Hamzah, di sini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob berkata, keuntungan tersebut diterima atas penggunaan tanah berkenaan bagi pembinaan KB Sentral yang melibatkan Hotel Tune, apartment dan juga unit kedai di Jalan Hamzah bersebelahan KB Mall di mana ia adalah tapak lama stesen bas dan tanah perkuburan.

”Projek yang dilaksanakan oleh Syarikat HLKS Construction ini dianggarkan menelan belanja RM50 juta dan daripada jumlah itu, MPKB-BRI akan menerima keuntungan sebanyak RM4.3 juta dalam bentuk tunai manakala RM2 juta lagi dalam bentuk aset dua unit kedai tiga tingkat.

”Selain keuntungan berjumlah RM6.3 juta itu, MPKB-BRI juga akan menjana pendapatan sampingan dari sewa kedai, pungutan cukai, lesen dan lain-lain bayaran berkaitan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Pembangunan Komersil KB Sentral Kota Bharu.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Hotel.com, Mark Lankester; Pengarah Urusan, HLK Ventures Sdn Bhd, TS Ting; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Anuar Tan Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan serta beberapa lagi Exco Kerajaan Negeri.

Ahmad Yaacob berkata, fasa pertama projek berkenaan akan siap pada Disember 2010 diikuti fasa kedua melibatkan apartmen dan rumah kedai dijangka siap pada bulan Mac 2011.

Katanya, projek ini adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan majlis untuk menstrukturkan semula bandar Kota Bharu yang bertujuan untuk menjadikan bandar ini sebuah bandar yang dinamik, makmur dan kompetitif kepada persaingan pembangunan perbandaran di seluruh negara.

”Pembangunan projek ini dijangka memberi kesan besar kepada pembangunan hartanah Kota Bharu khasnya dalam perkembangan industri pelancongan Negeri Kelantan di mana rakyat berpeluang memiliki unit apartmen sama ada untuk kegunaan sendiri atau sebagai pelaburan.

”Sementara itu, Hotel Tune akan berperanan untuk mempromosi keunikan budaya Kelantan sebagai produk pelancongan di samping deretan lokasi menarik di seluruh negeri,” katanya.

Ahmad Yaacob berkata, dengan kewujudan KB Sentral ini, ia akan menjadi penghubung antara bandar Kota Bharu dengan bandar-bandar lain di sekeliling, serta lokasi tumpuan utama pelancong luar yang datang ke negeri ini terutamanya kerjasama antara Hotel Tune dengan Syarikat Penerbangan Air Asia.

Pusat Penerangan Pelancongan