Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, December 7, 2009

Saat Nik Aziz dihimpit kontroversi

Oleh : Salhan K Ahmad

Analisis Sokongan rakyat Kelantan kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat kini amat bermakna, lebih-lebih lagi ketika Tok Guru yang disegani itu berhadapan dengan tekanan baru apabila anggota keluarganya sendiri terseret dalam kontroversi politik di negeri itu.BN sedaya upaya mereka menggunakan peluang tersebut bagi meruntuhkan pentadbiran Kelantan bawah PAS dengan memanipulasi isu-isu berkaitan menteri besarnya.


Namun menurut seorang exco kerajaan negeri Datuk Takiyuddin Hassan, tekanan yang kini ditanggung tokoh besar PAS itu bukanlah sesuatu yang baru."Sebagai pemimpin, isu-isu ini biasalah (Nik Aziz), sebab dia tentu ada pesaing-pesaing politik. Tapi secara keseluruhannya, apa-apa sumbangan yang dia telah buat itu masih mengatasi apa juga isu melibatkan keluarga atau peribadinya," katanya.


Beliau bagaimanapun mengakui isu-isu yang berlarutan sejak akhir-akhir ini, termasuk melibatkan penajaan haji dan karenah individu-individu terdekat dengan menteri besar itu boleh memberi kesan terhadap persepsi rakyat terhadap ulama tersebut.


"Tapi orang masih boleh nampak sumbangan (Nik Aziz) lebih besar daripada isu ini. Kepemimpinannya masih lagi mantap dan diterima oleh rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.


Isu tajaan ini timbul apabila Nik Aziz menyatakan kesudian untuk menerima tawaran mengerjakan haji daripada seorang pengarah sebuah syarikat.Penajaan itu dilaporkan turut melibatkan isteri Nik Aziz, anaknya Nik Amalina dan suami Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang bergelumang dalam satu lagi kontroversi.


Namun, mursyidul am PAS kemudiannya bertukar fikiran pada 13 November apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan membuka kertas siasatan kes tajaan berjumlah hingga ratusan ribu ringgit atau RM65,000 seorang.


"Setahu saya isu ini masih lagi dalam siasatan. Jadi tak boleh kata beliau bersalah," kata Takiyuddin lagi.


Selain isu haji, Nik Aziz juga menerima kritikan hebat kerana didakwa mengamalkan nepotisme dengan melantik Abdul Ariffahmi untuk menerajui PMBK September lalu - sehingga mendorong exco Pemuda PAS negeri itu meletakkan jawatannya Mac tahun depan.


Dalam pada itu, Umno Kelantan pula mengambil kesempatan untuk menekan Nik Aziz bagi meletak jawatan dalam satu demonstrasi awal bulan ini.Rentetan itu, satu perhimpunan balas diadakan PAS selepa tokoh PAS itu menyampaikan kuliah Jumaatnya di Kota Bharu minggu lalu.


Rencana ini dipetik dari malaysiakini.com

Kerajaan Negeri sahkan KB Mall selamat

KOTA BHARU - Mesyuarat khas yang diadakan Kerajaan Negeri bersama beberapa jabatan berkaitan bagi membincangkan mengenai tragedi ngeri yang berlaku di PasaRaya KB Mall kelmarin mengesahkan struktur bangunan pasar raya itu berada dalam keadaan yang baik ketika kejadian berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat yang dihadiri wakil Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Kerja Raya (JKR), polis, bomba dan pengurusan pasar raya itu turut mengesahkan tiada sebarang kecacatan pada bangunan tersebut.

"Hasil siasatan yang dijalankan, pihak kami mendapati kejadian itu berlaku bukan disebabkan struktur bangunan yang tidak sempurna kerana ianya berada dalam keadaan yang baik ketika kejadian.

"Selain itu, pihak kami juga mendapati tiada sebarang penambahan di bangunan itu yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak MPKB-BRI,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas yang diadakan di pasar raya itu, semalam.

Menurutnya, walaupun bangunan pasar raya disahkan berada dalam keadaan baik, pihaknya akan mengambil langkah penambahbaikan segera bagi menjamin keselamatan orang awam.

"Melalui mesyuarat itu juga, semua jabatan bersetuju dan membuat keputusan untuk menutup sementara tempat letak kenderaan di bahagian tingkat atas pasar raya itu sehingga selesai dibaiki selain menunggu pengesahan berhubung langkah keselamatan yang akan diambil MPKB-BRI.

“Mesyuarat terbabit juga tidak menyentuh soal punca kejadian dan siapa yang terlibat dalam kejadian itu berikutan ianya di bawah bidang kuasa polis,” katanya.

Takiyuddin berkata, kajian semula semua bangunan pasar raya yang terdapat di negeri itu walaupun kebanyakan pasar raya disahkan mempunyai tahap keselamatan yang sempurna.

“Mengikut kajian sebelum ini, tahap keselamatan di semua pasar raya sememangnya baik dan sudah memadai, tetapi pihak kami tetap akan membuat kajian semula,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Nik Aziz lawat tempat kejadian kemalangan KB Mall



KOTA BHARU, 8 Dis: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meluangkan masa kira-kira 25 minit di tempat kemalangan yang meragut dua nyawa dan satu parah dalam kejadian kereta terjunam dari parkir di KB Mall kelmarin.

Beliau yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan diberi taklimat oleh kakitangan Pasaraya New Pasiffic berhubung kejadian yang telah berlaku.

Turut meninjau perkembangan itu, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Meja (B) Md AnizamAbdul Rahman, Yang Dipertua MPKB, Haji Ahmad Mahmood, serta para pegawai kanan MPKB-BRI.

Ketika memberitahu pemberita selepas itu beliau berkata, kejadian berkenaan sesuatu yang diluar jangka dan tidak tidak terfikir oleh sesiapapun.

“Benda ni (kejadian itu) berlaku payah nak fikir, semuanya kuasa Allah, bagaimana kemalangan boleh berlaku dengan merempuh dinding yang begitu tebal, kemudian merempuh pula orang di bawah,”ujarnya.

Sementara itu, mesyurat khas yang berlangsung 11.15 pagi tadi memutuskan pasaraya berkenaan boleh beroperasi sebagaimana biasa bermula pukul 2.00 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ianya diambil kira selepas mesyuarat memutuskan struktur bangunan berkenaan masih dalam keadaan baik.

“Bukan itu sahaja, pembinaannya juga tidak menyalahi peraturan MPKB-BRI seperti dengan mencampuri bahan-bahan yang tidak baik sehingga menjejaskan struktur bangunan,”ujarnya.

Bagaimanapun, menurutnya pihak Bomba dan Penyelamat meminta factor keselamatan sentiasa diambil kira bagi memastikan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pada kejadian yang berlaku petang 6 Disember lalu, dua pelajar perempuan sebuah kolej kejururawatan Masterskill Cawangan Kota Bharu maut, manakala seorang lagi parah dan seorang lagi cedera ringan dihempap sebuah kereta yang terjunam dari tempat parkir tingkat atas.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Siti Nor Amira Samsuddin, 19 dan Siti Nor Diana Azman, 18, manakala mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Latfi, 24, juga pelajar kolej yang sama.

Pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, hanya mengelami cedera ringan setelah kereta jenis Ford Laser TX3 yang dipandu mangsa dikatakan rosak di Tingkat 3 parkir itu, tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh dinding lubang angin pasar raya itu.

Sumber : Harakahdaily

Pusat Penerangan Pelancongan