Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, February 17, 2010

Pasar Serawe tarikan muzium Kelantan

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

utusankelantan@utusan.com.my


KOTA BHARU 12 Feb. – Langkah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) memperkenalkan ‘Pasar Serawe’ (Serawang) pada setiap hari cuti mingguan mulai beberapa minggu lalu mula membantu memberi ‘nafas baru’ kepada pihak muzium.

Ia bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pengunjung malah mendekatkan institusi itu dengan masyarakat apabila ia mula melebarkan peranannya dan tidak lagi sekadar dipertanggungjawab menyimpan barangan purba yang mempunyai nilai sejarah.

Melalui pasar yang diwujudkan di pekarangan Muzium Kelantan itu, ia membuka ruang kepada anggota masyarakat mempamer dan menjual pelbagai barang-barang antik yang berada dalam simpanan mereka.


Ia sekali gus akan memberi nilai ekonomi kepada pemiliknya yang tidak lagi mahu menyimpannya kerana peluang untuk menjualnya boleh dilakukan di pasar yang bercirikan pasar lambak atau pasar bonet kereta itu.

Pengarah Muzium Negeri, Mohd. Fauzi Mat memberitahu, program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Seni Purba dan kraftangan Kelantan serta Persatuan Pelukis Kelantan akan didedahkan secara meluas kepada masyarakat umum.

Bercakap kepada pemberita dalam Majlis Santai Bersama Media di sini hari ini beliau berkata, pasar itu diadakan setiap Jumaat mulai pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari manakala dari pukul 9 hingga 4 petang pada Sabtu.

“Konsep Pasar Serawe itu lebih kepada mempamer dan menjual barangan antik yang mempunyai nilai-nilai estetika, nostalgia dan tradisional masyarakat yang berada dalam simpanan peribadi kepada masyarakat umum.
“Ini termasuk barangan lama seperti peralatan tradisional, seterika arang, alat elektronik, logam, senjata lama termasuk keris, lembing serta tombak, lukisan, bahan bacaan, perhiasan diri di samping pelbagai hiasan rumah,” ujarnya.
Pelancaran pasar itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, Sabtu lalu.
Menurut Mohd. Fauzi, pelancaran pasar itu menambah satu lagi produk Muzium Negeri ini dalam usaha menarik pelancong melawat Kelantan.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan semua pihak yang mempunyai barangan koleksi peribadi supaya menyertai program itu untuk mempamer atau menjual barangan mereka di muzium ini.
Menurutnya, pada peringkat awal, tapak bagi mempamer atau menjual barangan itu disediakan secara percuma dan mereka yang berminat boleh menghubungi Pengarah Muzium berkenaan melalui talian 09-7482266

Saturday, February 6, 2010

RM50 juta bina pusat lupus sampah sistematik


PASIR PUTEH - Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan lebih RM50 juta bagi menjadikan kawasan pelupusan sampah di Telong, Bachok lebih bersistematik. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peruntukan terbabit termasuk kos merawat air dari sampah.



Menurutnya, kawasan yang akan dijadikan sebagai ‘sanitary landfill’ itu nanti berupaya menam-pung sampah dari tiga kawasan iaitu Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.


“Kita menghadapi masalah apabila pusat pelupusan sampah tidak sistematik dan kita sedang berusaha untuk menambah baik kawasan terbabit yang dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Zon Bersih, Gotong-royong dan Kempen Membasmi Tikus di perkarangan Pasar Besar Pasir Puteh semalam yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar.


Sementara itu, Takiyuddin memberitahu, lebih RM20 juta diperuntukkan termasuk RM20 untuk Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam bagi menguruskan kebersihan merangkumi upah buruh, menyediakan peralatan dan jentera.


Menurutnya, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk menyerahkan kerja pengurusan sampah daripada pungutan sehingga kepada pelupusan kepada syarikat swasta.


“Sudah ada syarikat yang berminat untuk mengambil alih tugas itu, kita akan mengswastakannya selepas mendapat persetujuan,” katanya.

Pusat Penerangan Pelancongan