Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, June 30, 2010

RM30,000 menanti peserta Pesta Wau Antarabangsa

KOTA BHARU, 30 Jun: Sebanyak RM30,000 bakal dimenangi oleh setiap peserta Pesta Wau Jemputan Antarabangsa 2010 yang akan bermula 15 hingga 18 Julai ini.

Setiap peserta akan membawa pulang hadiah sekitar RM350, sijil dan piala bagi johan untuk kategori wau bulan tradisi naik peringkat kebangsaan.

Manakala naib johan sebanyak RM300 juga bagi kategori yang sama, manakala tempat ketiga, keempat dan kelima hingga ke 10, masing-masing berjumlah RM200, RM70 dan RM50.

Bagaimanapun, johan bagi kategori pertandingan wau puyuh dan wau bulan cantik peringkat kebangsaan berjumlah RM600 dan naib johan RM500.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, seramai 56 orang peserta dari seluruh negara akan menyertai program itu.

Katanya, hanya peserta dari Thailand sahaja yang dijemput untuk menyertai program yang julung kali diadakan di Pantai Irama, Bachok selain peserta dari 13 buah negeri seluruh negara.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat Pusat Penerangan Pelancongan, (TIC), di sini hari ini.

Katanya, Pesta Wau Antarabangsa yang telah memasuki edisi ke-27 ini, adalah anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Pelayang Negeri Kelantan dan Majlis Pelayang Malaysia.

Menurutnya, pesta berkenaan akan dibahagikan kepada 21 kategori bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000 yang ditaja oleh AQ Events Sdn Bhd selaku penaja bersama.

Kategori yang akan dipertandingkan adalah kategori wau bulan tradisi, wau puyuh tradisi, wau tradisi (Kelantan), wau kucing tradisi, wau jala budi tradisi, wau daun/barat, wau bulan sobek/cantik.

Tambahnya, selain itu wau puyuh sobek/cantik, wau bulan 1 pancang, wau bulan besar, wau puyuh besar dan wau bulan kecil 2 ½ X 2 ½.

“Pertandingan turut dibuka dalam kategori peringkat Universiti Malaysia Kelantan, pertandingan menaikkan wau bulan peringkat keluarga pengadil, wau bulan tradisi peringkat sekolah menengah, wau puyuh peringkat sekolah menengah dan wau malay kite peringkat sekolah.

“Di samping itu juga, kategori bengkel wau tradisi (membuat) dan bengkel wau tradisi (menaik),”ujarnya lagi.

Takiyuddin seterusnya berkata, penganjuran Pesta Wau Antarabangsa Kelantan ini bertujuan memperkenalkan cabang kesenian yang sihat kepada generasi muda di samping dapat mempertahankan warisan bangsa yang semakin terhakis oleh peredaran masa.

Katanya, pesta wau ini juga akan mengumpul peminat-peminat wau bagi mencipta rekabentuk seni budaya wau tradisi dan layang-layang moden di kalangan masyarakat Malaysia.

Sumber : Harakahdaily.net


Wednesday, June 16, 2010

Mustapa ganti Najib rasmi Kelantan Fiesta 2010




KOTA BHARU, 16 Jun: Di sebalik pemulauan kepimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada perasmian Kelantan Fiesta 2010 malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak hadir pada majlis itu.

Walaupun mengikut jadual asal, majlis itu akan dirasmikan oleh Najib, tetapi beliau digantikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Lebih mengecewakan penganjur bersama program itu, Red Carpet Worldwide, apabila hanya kira-kira 300 sahaja yang hadir dalam suasana hujan lebat yang turun mencurah-curah selepas Maghrib.

Bahkan, ada di kalangan pengunjung yang berpatah balik kerana tidak selesa berada pada majlis itu, ditambah pula bekalan elektrik turut terputus.

Ini menyebabkan sistem pembesar suara gagal berfungsi yang memaksa Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri berucap menggunakan loud hailer.

Petang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, kerajaan negeri akan memulau majlis perasmian itu yang sepatutnya disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan dan dihadiri Najib Tun Razak di pekarangan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV.

Ini kerana, katanya pihak penganjur mungkir janji dengan tidak membenarkan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berucap.

Tambahnya, penganjur bersama majlis itu, Red Carpet Worldwide Sdn Bhd telah melanggar syarat-syarat perjanjiannya dengan kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau yang juga Adun Bunut Payong berkata, mengikut perjanjian asal, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra akan merasmikan fiesta itu dan Menteri Besar turut berucap, tetapi keputusan terbaru tidak membenarkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berucap di samping tidak dirasmikan oleh Pemangku Raja.

Ekoran itu, jelasnya semua acara melibatkan kerajaan negeri seperti persembahan 1,001 pesilat dan pembuatan gendang terbesar turut dibatalkan.

Sementara itu, Perdana Menteri yang membatalkan untuk merasmikan Kelantan Fiesta itu bergegas pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan pada 10.30 malam.

Ekoran itu, RTM turut membatalkan untuk mengadakan siaran langsung.

Namun, RTM dalam Berita Jam 8 masih lagi mewar-warkan keberangkatan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan untuk merasmikan program Kelantan Fiesta 2010 di samping menyatakan akan menyiarkan program itu secara langsung melalui TV1.

Tindakan terus menghebahkan keberangkatan Pemangku Raja sebagai strategi untuk menarik rakyat Kelantan ke majlis tersebut dan dilihat sebagai tindakan terdesak serta tidak menghormati institusi istana yang jelas melalui surat memaklumkan ‘atas sebab-sebab tertentu’ di mana Pemangku Raja membatalkan hasrat untuk merasmikan karnival itu.

Tindakan Umno negeri yang menaikkan banner dan bunting gambar Najib dan 1Malaysia sebenarnya suatu tindakan menderhaka walapun merasakan itu perancangan terbaik mereka, sebenarnya lebih memualkan rakyat Kelantan yang sememangnya tidak menyahut seruan 1Malaysia.

Sumber Harakahdaily.net
Gambar :Topeng Perak

Pusat Penerangan Pelancongan